Monday 2 March 2015

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ. CERPEN

[BIRO AKADEMIK 14/15]
BEDAH BUKU ONLINE MPKJ

CERPEN

oleh : Nurul Huda bt. Abu Bakar, Tahun 2, Uni. Mutah
tajuk : Dua Benua Satu Cahaya

Dia memandang ke arah bangunan yang diselimuti kain hitam itu. Manusia berpusu-pusu mengelilingi tempat yang menjadi arah kiblat seluruh umat islam dari seluruh pelosok dunia.Ada yang sanggup mengasari saudara seagama sendiri semata-mata hendak mengucup hajarul aswad. Mujur ada pegawai keselamatan di situ yang setia melarang mereka agar tidak terlalu obses dengan batu tersebut . Kedengaran ‘ Ya Hajjah , Ya Hajjah’ berulang kali diulang dari arah selatan dia berdiri . Pegawai itu mengarahkan agar kaum wanita segera meninggalkan bulatan tawaf kerana beberapa minit lagi azan subuh akan berkumandang. Ada yang mengikut arahan , tidak kurang juga yang mengingkari.Dia hanya tersenyum . Menyedari hakikat , lain orang lain ragam walaupun rambut sama hitam .
Dia mengambil tempat di sebelah warga asing . Fikirnya , mungkin jemaah dari Turki kerana sepanjang empat hari dia di bumi penuh berkat ini , rata-rata jemaah datang dari Turki. Sosok badan lelaki itu kecil , tidak seperti warga Turki yang lain . Tekanya mungkin usia dalam lingkungan enam puluh tahun. Menyedari kehadiran dirinya , lelaki tersebut mengangkat wajah dari menatap mushaf AlQuran .
‘Assalamualaikum . Duduk lah . Nanti anak solat sebelah pakcik sahaja.’
Dia terpana. Ternyata tanggapannya salah !
‘Pakcik orang Malaysia ?’
Dia meletakkan beg yang berisi kasut dan air , duduk menghampiri warga emas tersebut .
‘Tidak . Tetapi saya sayangkan Malaysia. Saya berada di Malaysia lebih separuh dari usia saya. ‘
‘Pakcik dari mana ? ‘
‘Turki. Pakcik menetap di Malaysia sejak berusia sepuluh tahun . Dua tahun lepas baru pakcik balik dari Malaysia.’
‘Fasihnya pakcik berbahasa melayu.’
Pakcik itu senyum. Meletakkan AlQuran yang dibacanya tadi atas sejadah.
‘Ibu pakcik warganegara Turki.Ayah pakcik dilahirkan di Australia tetapi dibesarkan di Turki kerana datuk dan nenek hendak menerapkan ajaran islam secara menyeluruh kepada anak-anak mereka. Arwah ayah dan ibu berjumpa di Turki kemudian bernikah di sana. Setelah usia perkahwinan mereka hampir memasuki lima tahun , mereka berhijrah ke Malaysia. ‘
‘Kenapa tak menetap di Turki ?’
‘Ayah pakcik diarahkan untuk bertugas di Malaysia ketika itu. Asalnya kami sekeluarga tidak sanggup berpindah apatah lagi ke sebuah negara yang masih baru pada pandangan mata kami . Ayah yakinkan kami ,Malaysia merupakan sebuah negara yang akan buat kami jatuh cinta .’
Dia ketawa perlahan . ‘Jadinya , pakcik dah jatuh cinta pada Malaysia ya?’ Dia cuba berseloroh.
‘Panjang kronologi kisah sebelum pakcik mengakui kata-kata arwah ayah dulu. Dua tahun di sana , pakcik masih tidak dapat sesuaikan diri. Hampir setiap hari pakcik ajak keluarga balik ke Turki . Rindu pada arwah atuk dan nenek , hanya Allah Maha Mengetahui.’
Pakcik itu diam sebentar , berjeda.
‘Hari demi hari , pakcik pujuk hati agar bertahan . Walaupun pakcik sendiri tidak tahu sampai bila mampu bertahan. Ahli keluarga yang lain sudah mampu menyayangi Malaysia. Mereka fasih berbahasa melayu , tetapi tidak bagi pakcik . Lidah ini terasa macam diikat apabila bercakap bahasa melayu sampaikan diketawakan oleh kawan-kawan sebaya.’
‘Sampailah satu hari , ketika pakcik berada dalam alam universiti , pakcik diketemukan dengan seorang gadis . Namanya Nur. Nur banyak memberi dorongan dan semangat kepada pakcik agar bersabar menghadapi karenah manusia yang pelbagai. Sebulan selepas kami berkenalan , kami berkahwin .
Mulanya mak dan ayah kami menentang kerana perbezaan warna kulit . Namun , kesabaran kami berbaloi apabila mereka mula menerima takdir yang tertulis.’
‘Oh , pakcik datang dengan makcik Nur lah ya ?’
Pakcik itu hanya tersenyum.
‘Cuba kamu tengok lelaki yang sedang menolak isterinya atas kerusi roda itu .’
Dia memandang ke arah insan yang dimaksudkan . Acapkali dia melihat adegan seperti itu . Sama ada suami menolak isteri mahupun sebaliknya .
‘Ada apa dengan mereka pakcik ?’ soalnya penuh kehairanan .
‘Pakcik datang kali pertama ke sini dengan isteri pakcik , Nur . Ketika itu makcik Nur lumpuh separuh badan akibat kemalangan’
Dia tersentak lagi kali ini. Dia membayangkan kesukaran mereka berdua yang terpaksa menempuhi ribuan manusia untuk menyempurnakan ibadah umrah . Adakah dia sanggup berbuat demikian jika dia di tempat pakcik di hadapannya ini?
‘Nur ketika itu tidak seceria dulu. Kemalangan itu meragut seluruh kebahagiaan kami. Dia menjadi seorang yang pendiam. Sudah pelbagai cara pakcik ikhtiarkan untuk kembalikan senyuman di wajah dia tetapi semuanya berakhir dengan kehampaan. Hingga tiba satu hari , Nur ajak pakcik ke mari. Mulanya pakcik tidak bersetuju kerana memikirkan keadaannya . Macam-macam anggapan buruk berlegar dalam kepala. Nur yakinkan pakcik , semuanya akan kembali kepada asal setelah pulang .Akibat ingin sangat melihat dia kembali tersenyum , pakcik ubah fikiran . Pertama kali melihat Kaabah , Nur menangis tidak henti . Entah apa yang terlalu menyentuh naluri hatinya . Hampir setiap waktu solat dia ingin melakukan tawaf sunat. Dia sangat suka jika dapat solat betul-betul berhadapan dengan kaabah’.
Dia tunduk merenung karpet yang menutupi lantai, teringat dirinya yang tidak suka bersesak. Selalu ingin mengelak untuk solat berhadapan dengan Kaabah kerana ramai orang . Dia malu jika dibandingkan dengan makcik Nur.
‘Tiga hari sebelum kami berangkat ke Madinah , Nur minta untuk melakukan tawaf sekali lagi sebelum solat zuhur. Kami sudah selesai ibadah umrah ketika dhuha tetapi dia masih hendak melakukan tawaf . Dia meronta atas kerusi roda itu . Tidak mahu menghampakan Nur , pakcik turutkan saja . Kami melakukan ibadah tawaf seperti kebiasaannya . Bersesak dengan orang lain , ada adegan tolak menolak dan tidak kurang juga ada yang merempuh kami tatkala kami hendak menghampiri Kaabah. Selesai ibadah tawaf , kami duduk sebentar di laluan saie. Menunggu azan zuhur berkumandang . Nur pinta untuk berdiri. Pakcik menegah , khuatir dia bakal jatuh menyembah lantai. Nur berdegil , dia berusaha untuk berdiri. Alhamdulillah , kuasa Allah , Nur mampu solat zuhur hari tersebut seperti orang lain !’
‘MashaAllah .’ Hanya perkataan itu yang meluncur keluar dari mulutnya tatkala itu.
‘Berita itu benar-benar mengejutkan kami. Hanya air mata menjadi bukti kegembiraan pakcik. Nur boleh berjalan seperti sebelumnya . Tidak lagi perlukan bantuan kerusi roda.Paling penting , Nur dah kembali senyum . Sungguh , cahayanya menerangi hari-hari pakcik.’
‘Makcik Nur di mana sekarang ?’
Pakcik itu menarik nafas panjang sebelum menyambung percakapannya .
‘Tiga tahun yang lalu , Nur diserang strok . Kali ini dia lumpuh sepenuhnya. Namun semangatnya untuk pulih tidak pernah luntur. Setiap hari Nur akan bangun awal untuk bertahajud walaupun atas kerusi roda.Dia tidak pernah tinggal solat jemaah di masjid. Setiap minggu dia akan menghabiskan senaskah AlQuran. Permintaan dia masih sama , nak menjejakkan kaki ke Haramain . Kali ini pakcik setuju sahaja , kembali teringatkan keajaiban yang pernah berlaku. Kami melakukan persediaan sederhana sahaja kerana ini merupakan kali keempat kami menziarahi tanah haram. Tetapi , Allah itu sebaik-baik perancang . Seminggu sebelum tarikh bertolak , Nur dijemput menghadap Ilahi dalam sujud tahajudnya.’
Tanpa dia sedar , ada butir jernih bertakung di kelopak mata.
‘Pakcik redha akan pemergian Nur . Dia dijemput Ilahi dalam keadaan sangat mulia . Hari itu siapa sangka dia mampu melakukan solat terakhir dengan keadaan berdiri. Wajahnya sangat tenang , seperti sudah dijangka akan meninggalkan pakcik sekeluarga. Dia pernah berpesan , buatlah amal kebaikkan seolah-olah kematian akan menjemput sebentar lagi.Oleh kerana itulah , Nur sentiasa membasahi bibir dengan zikir kepada Allah .’
Lidahnya kelu , seolah-olah peti suara dikunci rapat . Tidak dihiraukan mereka yang lalu lalang , bersiap sedia untuk solat subuh.
‘Pakcik kehilangan satu cahaya yang menyinari hidup. Cahaya yang sentiasa menunjukkan pakcik jalan yang benar untuk dilalui. Cahaya yang tidak jemu menyuluh dalam kegelapan. Pakcik sedar , benar kata-kata arwah ayah dulu . Malaysia akan buat pakcik jatuh hati. Ya , pakcik jatuh hati pada Nur di Malaysia. Dek kerinduan yang tiada penghujung , pakcik ambil keputusan untuk menetap di Australia , berharap dapat lupakan kenangan bersama Nur.’
‘Pakcik dah lupakan makcik Nur sekarang ?’
‘Tak . Tak mungkin akan lupakan . Sejauh mana pun pakcik berlari , cahaya itu akan terus mengekori. Nur sentiasa dalam diri , menyinari hati. Perbezaan alam kehidupan tak dapat padamkan rasa kasih dan sayang pakcik pada Nur. ‘
Kemudian pakcik itu menyentuh tangan pemuda yang sedang duduk berhadapan dengan dirinya sebelum menyambung bicara .
‘Cinta yang suci itu tidak mengenal usia dan keadaan. Lihat sahaja mereka yang datang .Yang usia sudah menjangkau 80 tahun pun masih menyayangi pasangan mereka. Walaupun rata-rata dalam kalangan mereka sudah tidak diberikan kesihatan yang baik. Namun mereka masih setia melayan karenah pasangan mereka. Itulah namanya cinta yang membawa ke syurga. Menyayangi tidak atas sebab yang spesifik.Cinta dan kasih sepenuh hati , lillahitaala .’
Dia menganggukkan kepala . Dia teringatkan isterinya yang terbaring di hotel akibat diserang demam panas. Kasihan isterinya , tatkala orang ramai berpusu-pusu merebut peluang solat berjemaah di Masjidil Haram, isterinya terpaksa berehat dalam bilik demi menjaga kandungan yang sudah menjangkau usia enam bulan . Syukur Alhamdulillah , mereka bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi.
Tidak lama kemudian , azan subuh berkumandang . Sheikh Maher AlMuaqily mengimami solat pada pagi tersebut. Alunan ayat dari Surah Ar-Rum menggetarkan hatinya :
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang . Sungguh , yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda ( kebesaran Allah ) bagi kaum yang berfikir.
Surah Ar Rum :Ayat 21
Air mata yang ditahan akhirnya jatuh menyentuh pipi . Mengenangkan dirinya yang sudah menjangkau dua tahun menjadi suami kepada si isteri , adakah perasaan kasih dan sayang itu sudah berjaya disemai dalam diri dia dan isteri . Dia meraup wajah lalu berdoa :
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
‘Anak , pakcik pulang dulu. Moga kamu sentiasa menjadi penyejuk hati kepada mereka yang memandang. ‘
Mereka berjabat tangan , kemudian berpelukan .
‘Nah , hadiah dari pakcik untuk kamu . ‘
Dia menolak pemberian pakcik tersebut . Not 100 Riyal berada dalam genggaman kini.
‘Ambil lah , buat belanja . Nur suka memberi hadiah dahulu jika dia ke sini. Pakcik nak teruskan amalan dia. Terima lah ya.’
Dengan berat hati , dia mengangguk , menghantar pemergian pakcik tersebut melalui ekor mata .
Ya Allah , Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Juga Maha Mendengar. Terima kasih atas nikmat kurniaan Mu terhadap aku. Kekalkan aku dan isteri dalam pelukan kasih sayang Mu . Jadikan kami dalam kalangan hambaMu yang bersyukur. Moga kami dapat menjadi qurratu ain kepada mereka yang menyayangi kami kerana Mu !
Dalam diam dia berharap , masjid yang seringkali diulang sebut dalam kitab mulia , AlQuran , menjadi saksi betapa dia mencintai apa yang dia miliki kerana Dia , Pemilik Segala Cinta .
'Ukhuwah Terbina, Kebajikan Terlaksana'

No comments:

Post a Comment