Monday 2 March 2015

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ. CERPEN

[BIRO AKADEMIK 14/15]
BEDAH BUKU ONLINE MPKJ

CERPEN

oleh : Nurul Huda bt. Abu Bakar, Tahun 2, Uni. Mutah
tajuk : Dua Benua Satu Cahaya

Dia memandang ke arah bangunan yang diselimuti kain hitam itu. Manusia berpusu-pusu mengelilingi tempat yang menjadi arah kiblat seluruh umat islam dari seluruh pelosok dunia.Ada yang sanggup mengasari saudara seagama sendiri semata-mata hendak mengucup hajarul aswad. Mujur ada pegawai keselamatan di situ yang setia melarang mereka agar tidak terlalu obses dengan batu tersebut . Kedengaran ‘ Ya Hajjah , Ya Hajjah’ berulang kali diulang dari arah selatan dia berdiri . Pegawai itu mengarahkan agar kaum wanita segera meninggalkan bulatan tawaf kerana beberapa minit lagi azan subuh akan berkumandang. Ada yang mengikut arahan , tidak kurang juga yang mengingkari.Dia hanya tersenyum . Menyedari hakikat , lain orang lain ragam walaupun rambut sama hitam .
Dia mengambil tempat di sebelah warga asing . Fikirnya , mungkin jemaah dari Turki kerana sepanjang empat hari dia di bumi penuh berkat ini , rata-rata jemaah datang dari Turki. Sosok badan lelaki itu kecil , tidak seperti warga Turki yang lain . Tekanya mungkin usia dalam lingkungan enam puluh tahun. Menyedari kehadiran dirinya , lelaki tersebut mengangkat wajah dari menatap mushaf AlQuran .
‘Assalamualaikum . Duduk lah . Nanti anak solat sebelah pakcik sahaja.’
Dia terpana. Ternyata tanggapannya salah !
‘Pakcik orang Malaysia ?’
Dia meletakkan beg yang berisi kasut dan air , duduk menghampiri warga emas tersebut .
‘Tidak . Tetapi saya sayangkan Malaysia. Saya berada di Malaysia lebih separuh dari usia saya. ‘
‘Pakcik dari mana ? ‘
‘Turki. Pakcik menetap di Malaysia sejak berusia sepuluh tahun . Dua tahun lepas baru pakcik balik dari Malaysia.’
‘Fasihnya pakcik berbahasa melayu.’
Pakcik itu senyum. Meletakkan AlQuran yang dibacanya tadi atas sejadah.
‘Ibu pakcik warganegara Turki.Ayah pakcik dilahirkan di Australia tetapi dibesarkan di Turki kerana datuk dan nenek hendak menerapkan ajaran islam secara menyeluruh kepada anak-anak mereka. Arwah ayah dan ibu berjumpa di Turki kemudian bernikah di sana. Setelah usia perkahwinan mereka hampir memasuki lima tahun , mereka berhijrah ke Malaysia. ‘
‘Kenapa tak menetap di Turki ?’
‘Ayah pakcik diarahkan untuk bertugas di Malaysia ketika itu. Asalnya kami sekeluarga tidak sanggup berpindah apatah lagi ke sebuah negara yang masih baru pada pandangan mata kami . Ayah yakinkan kami ,Malaysia merupakan sebuah negara yang akan buat kami jatuh cinta .’
Dia ketawa perlahan . ‘Jadinya , pakcik dah jatuh cinta pada Malaysia ya?’ Dia cuba berseloroh.
‘Panjang kronologi kisah sebelum pakcik mengakui kata-kata arwah ayah dulu. Dua tahun di sana , pakcik masih tidak dapat sesuaikan diri. Hampir setiap hari pakcik ajak keluarga balik ke Turki . Rindu pada arwah atuk dan nenek , hanya Allah Maha Mengetahui.’
Pakcik itu diam sebentar , berjeda.
‘Hari demi hari , pakcik pujuk hati agar bertahan . Walaupun pakcik sendiri tidak tahu sampai bila mampu bertahan. Ahli keluarga yang lain sudah mampu menyayangi Malaysia. Mereka fasih berbahasa melayu , tetapi tidak bagi pakcik . Lidah ini terasa macam diikat apabila bercakap bahasa melayu sampaikan diketawakan oleh kawan-kawan sebaya.’
‘Sampailah satu hari , ketika pakcik berada dalam alam universiti , pakcik diketemukan dengan seorang gadis . Namanya Nur. Nur banyak memberi dorongan dan semangat kepada pakcik agar bersabar menghadapi karenah manusia yang pelbagai. Sebulan selepas kami berkenalan , kami berkahwin .
Mulanya mak dan ayah kami menentang kerana perbezaan warna kulit . Namun , kesabaran kami berbaloi apabila mereka mula menerima takdir yang tertulis.’
‘Oh , pakcik datang dengan makcik Nur lah ya ?’
Pakcik itu hanya tersenyum.
‘Cuba kamu tengok lelaki yang sedang menolak isterinya atas kerusi roda itu .’
Dia memandang ke arah insan yang dimaksudkan . Acapkali dia melihat adegan seperti itu . Sama ada suami menolak isteri mahupun sebaliknya .
‘Ada apa dengan mereka pakcik ?’ soalnya penuh kehairanan .
‘Pakcik datang kali pertama ke sini dengan isteri pakcik , Nur . Ketika itu makcik Nur lumpuh separuh badan akibat kemalangan’
Dia tersentak lagi kali ini. Dia membayangkan kesukaran mereka berdua yang terpaksa menempuhi ribuan manusia untuk menyempurnakan ibadah umrah . Adakah dia sanggup berbuat demikian jika dia di tempat pakcik di hadapannya ini?
‘Nur ketika itu tidak seceria dulu. Kemalangan itu meragut seluruh kebahagiaan kami. Dia menjadi seorang yang pendiam. Sudah pelbagai cara pakcik ikhtiarkan untuk kembalikan senyuman di wajah dia tetapi semuanya berakhir dengan kehampaan. Hingga tiba satu hari , Nur ajak pakcik ke mari. Mulanya pakcik tidak bersetuju kerana memikirkan keadaannya . Macam-macam anggapan buruk berlegar dalam kepala. Nur yakinkan pakcik , semuanya akan kembali kepada asal setelah pulang .Akibat ingin sangat melihat dia kembali tersenyum , pakcik ubah fikiran . Pertama kali melihat Kaabah , Nur menangis tidak henti . Entah apa yang terlalu menyentuh naluri hatinya . Hampir setiap waktu solat dia ingin melakukan tawaf sunat. Dia sangat suka jika dapat solat betul-betul berhadapan dengan kaabah’.
Dia tunduk merenung karpet yang menutupi lantai, teringat dirinya yang tidak suka bersesak. Selalu ingin mengelak untuk solat berhadapan dengan Kaabah kerana ramai orang . Dia malu jika dibandingkan dengan makcik Nur.
‘Tiga hari sebelum kami berangkat ke Madinah , Nur minta untuk melakukan tawaf sekali lagi sebelum solat zuhur. Kami sudah selesai ibadah umrah ketika dhuha tetapi dia masih hendak melakukan tawaf . Dia meronta atas kerusi roda itu . Tidak mahu menghampakan Nur , pakcik turutkan saja . Kami melakukan ibadah tawaf seperti kebiasaannya . Bersesak dengan orang lain , ada adegan tolak menolak dan tidak kurang juga ada yang merempuh kami tatkala kami hendak menghampiri Kaabah. Selesai ibadah tawaf , kami duduk sebentar di laluan saie. Menunggu azan zuhur berkumandang . Nur pinta untuk berdiri. Pakcik menegah , khuatir dia bakal jatuh menyembah lantai. Nur berdegil , dia berusaha untuk berdiri. Alhamdulillah , kuasa Allah , Nur mampu solat zuhur hari tersebut seperti orang lain !’
‘MashaAllah .’ Hanya perkataan itu yang meluncur keluar dari mulutnya tatkala itu.
‘Berita itu benar-benar mengejutkan kami. Hanya air mata menjadi bukti kegembiraan pakcik. Nur boleh berjalan seperti sebelumnya . Tidak lagi perlukan bantuan kerusi roda.Paling penting , Nur dah kembali senyum . Sungguh , cahayanya menerangi hari-hari pakcik.’
‘Makcik Nur di mana sekarang ?’
Pakcik itu menarik nafas panjang sebelum menyambung percakapannya .
‘Tiga tahun yang lalu , Nur diserang strok . Kali ini dia lumpuh sepenuhnya. Namun semangatnya untuk pulih tidak pernah luntur. Setiap hari Nur akan bangun awal untuk bertahajud walaupun atas kerusi roda.Dia tidak pernah tinggal solat jemaah di masjid. Setiap minggu dia akan menghabiskan senaskah AlQuran. Permintaan dia masih sama , nak menjejakkan kaki ke Haramain . Kali ini pakcik setuju sahaja , kembali teringatkan keajaiban yang pernah berlaku. Kami melakukan persediaan sederhana sahaja kerana ini merupakan kali keempat kami menziarahi tanah haram. Tetapi , Allah itu sebaik-baik perancang . Seminggu sebelum tarikh bertolak , Nur dijemput menghadap Ilahi dalam sujud tahajudnya.’
Tanpa dia sedar , ada butir jernih bertakung di kelopak mata.
‘Pakcik redha akan pemergian Nur . Dia dijemput Ilahi dalam keadaan sangat mulia . Hari itu siapa sangka dia mampu melakukan solat terakhir dengan keadaan berdiri. Wajahnya sangat tenang , seperti sudah dijangka akan meninggalkan pakcik sekeluarga. Dia pernah berpesan , buatlah amal kebaikkan seolah-olah kematian akan menjemput sebentar lagi.Oleh kerana itulah , Nur sentiasa membasahi bibir dengan zikir kepada Allah .’
Lidahnya kelu , seolah-olah peti suara dikunci rapat . Tidak dihiraukan mereka yang lalu lalang , bersiap sedia untuk solat subuh.
‘Pakcik kehilangan satu cahaya yang menyinari hidup. Cahaya yang sentiasa menunjukkan pakcik jalan yang benar untuk dilalui. Cahaya yang tidak jemu menyuluh dalam kegelapan. Pakcik sedar , benar kata-kata arwah ayah dulu . Malaysia akan buat pakcik jatuh hati. Ya , pakcik jatuh hati pada Nur di Malaysia. Dek kerinduan yang tiada penghujung , pakcik ambil keputusan untuk menetap di Australia , berharap dapat lupakan kenangan bersama Nur.’
‘Pakcik dah lupakan makcik Nur sekarang ?’
‘Tak . Tak mungkin akan lupakan . Sejauh mana pun pakcik berlari , cahaya itu akan terus mengekori. Nur sentiasa dalam diri , menyinari hati. Perbezaan alam kehidupan tak dapat padamkan rasa kasih dan sayang pakcik pada Nur. ‘
Kemudian pakcik itu menyentuh tangan pemuda yang sedang duduk berhadapan dengan dirinya sebelum menyambung bicara .
‘Cinta yang suci itu tidak mengenal usia dan keadaan. Lihat sahaja mereka yang datang .Yang usia sudah menjangkau 80 tahun pun masih menyayangi pasangan mereka. Walaupun rata-rata dalam kalangan mereka sudah tidak diberikan kesihatan yang baik. Namun mereka masih setia melayan karenah pasangan mereka. Itulah namanya cinta yang membawa ke syurga. Menyayangi tidak atas sebab yang spesifik.Cinta dan kasih sepenuh hati , lillahitaala .’
Dia menganggukkan kepala . Dia teringatkan isterinya yang terbaring di hotel akibat diserang demam panas. Kasihan isterinya , tatkala orang ramai berpusu-pusu merebut peluang solat berjemaah di Masjidil Haram, isterinya terpaksa berehat dalam bilik demi menjaga kandungan yang sudah menjangkau usia enam bulan . Syukur Alhamdulillah , mereka bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi.
Tidak lama kemudian , azan subuh berkumandang . Sheikh Maher AlMuaqily mengimami solat pada pagi tersebut. Alunan ayat dari Surah Ar-Rum menggetarkan hatinya :
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang . Sungguh , yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda ( kebesaran Allah ) bagi kaum yang berfikir.
Surah Ar Rum :Ayat 21
Air mata yang ditahan akhirnya jatuh menyentuh pipi . Mengenangkan dirinya yang sudah menjangkau dua tahun menjadi suami kepada si isteri , adakah perasaan kasih dan sayang itu sudah berjaya disemai dalam diri dia dan isteri . Dia meraup wajah lalu berdoa :
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
‘Anak , pakcik pulang dulu. Moga kamu sentiasa menjadi penyejuk hati kepada mereka yang memandang. ‘
Mereka berjabat tangan , kemudian berpelukan .
‘Nah , hadiah dari pakcik untuk kamu . ‘
Dia menolak pemberian pakcik tersebut . Not 100 Riyal berada dalam genggaman kini.
‘Ambil lah , buat belanja . Nur suka memberi hadiah dahulu jika dia ke sini. Pakcik nak teruskan amalan dia. Terima lah ya.’
Dengan berat hati , dia mengangguk , menghantar pemergian pakcik tersebut melalui ekor mata .
Ya Allah , Engkau Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Juga Maha Mendengar. Terima kasih atas nikmat kurniaan Mu terhadap aku. Kekalkan aku dan isteri dalam pelukan kasih sayang Mu . Jadikan kami dalam kalangan hambaMu yang bersyukur. Moga kami dapat menjadi qurratu ain kepada mereka yang menyayangi kami kerana Mu !
Dalam diam dia berharap , masjid yang seringkali diulang sebut dalam kitab mulia , AlQuran , menjadi saksi betapa dia mencintai apa yang dia miliki kerana Dia , Pemilik Segala Cinta .
'Ukhuwah Terbina, Kebajikan Terlaksana'

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ. BAHAGIAN 3

[BIRO AKADEMIK 14/15]

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ

oleh: Abdul Muhaimin bin Rapingi, Tahun 3, Uni. of Jordan
tajuk buku : خريطة المستقبل، د. شرف القضاة

Bahagian 3

Jika sesuatu hadis seolah-olah menepati keadaan tertentu pada masa kini, maka penulis menetapkan beberapa perkara dalam menilai hadis tersebut. Pertamanya ialah seseorang yang ingin membicarakan tentang hadis perlulah mahir dalam ilmu hadis dan faham tentang hadis secara keseluruhan.
Seterusnya, mereka juga perlu faham dengan keadaan semasa. Kemungkinan sesuatu perkara berbeza antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain. Ada dikalangan kita tidak pernah keluar ke tempat lain, maka gambaran yang ada padanya adalah setiap tempat dan negara adalah seperti tempatnya. Perkara-perkara seperti ini perlu diambil perhatian agar kefahaman “waqi’” itu tepat seperti yang dikehendaki. Kemudian penulis juga menyarankan untuk sentiasa adil dalam menilai sesuatu perkara dan tidak terlalu gopoh dalam menghukum. Katanya lagi, selalunya pendapat-pendapat yang tidak sahih adalah kerana manusia yang gopoh dalam menghukum dan tidak adil dalam menilai.
Kata penulis lagi, kalaulah kita tidak memahami sesuatu hadis , jaganlah menganggap ketidakfahaman kita itu sebagai suatu takdir yang telah ditetapkan dan tidak boleh diubah. Kita perlu berusaha untuk memahaminya dengan kefahaman yang betul. Contoh fitnah yang terjadi hari ini adalah tuntutan Israel terhadap negara Palestin. Adakah wajar umat Islam hari ini redha dengan tuntutan itu ? adakah wajar untuk kita katakan bahawa tuntutan itu adalah suatu takdir yang ditetapkan Allah dan kita tidak layak untuk mengingkarinya ? . Umat Islam sepatutnya tidak sekali-kali bersikap berserah kepada takdir semata-mata. Bahkan kita perlu bangun berjihad dan menentang kezaliman. Kita perlu tahu berjihad itu jugak adalah suatu takdir yang ditetapkan, dan ia akan terus berkekalan sehingga ke hari kiamat.
Seterusnya kata penulis, seorang yang mendalami hadis mestilah pandai menyesuaikan diri daam menyampaikan hadis kepada masyarakat. Janganlah terlalu fokus menerangkan hadis-hadis berita gembira sehingga mereka tidak endah kepada sekeliling, dengan alasan Tuhan telah menjanjikan khabar gembira untuk orang Islam. Janganlah pula memberi tumpuan terhadap hadis-hadis fitnah akhir zaman sehingga mereka terlalu takut dan berasa gusar didalam jiwa. Maka sesuaikanlah penyampaian hadis dengan cara yang baik agar bermanfaat kepada semua.
KONKLUSI
Dalam memahami dan mempelajari hadis-hadis akhir zaman, kita perlu cakna kepada dua perkara seperti yang disebut dalam perbahasan ini. Pertama adalah status hadis itu sendiri, sesuatu hadis mestilah sahih darjatnya, kerana hadis dhaif tidak diguna didalam agama kecuali dalam fadhail ‘amal itupun selepas memenuhi syarat-syarat yang pelbagai. Keduanya, kita perlu pastikan kefahaman hadis adalah dengan kefahaman yang betul. Sikap terlalu cepat menghukum perlu dijauhkan, bahkan kita disuruh untuk mengkaji dan mengharmonikan antara hadis-hadis yang seakan-akan berbeza. Daripada hadis-hadis akhir zaman ini juga, dapat meyakinkan kita tentang kenabian baginda s.aw. kerana perkara ghaib tentang masa depan tidaklah diketahui kecuali dengan dalil al-quran ataupun as-sunnah. Akhirnya, semoga perkongsian ini memberi pengetahuan baru kepada kita dalam berinteraksi dengan hadis akhir zaman khususnya, dan beriteraksi dengan sunnah umumnya.
Walahu’alam..

'Ukhuwah Terbina, Kebajikan Terlaksana'

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ. BAHAGIAN 2

[BIRO AKADEMIK 14/15]

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ

oleh : Abdul Muhaimin bin Rapingi, Uni. of Jordan
tajuk buku : خريطة المستقبل، د. شرف القضاة

Bahagian 2

Seterusnya penulis menyatakan bahawa perbezaan dalam perincian sesuatu periwayatan tidaklah memberi kesan sehingga tertolak periwayatan tersebut. Contohnya hadis berkenaan dajjal, datang beberapa riwayat yang menerangkan perincian sifat-sifat dajjal. Ada riwayat menyatakan matanya buta disebelah kanan, ada riwayat lain pula mengatakan sebelah kiri. Jadi perbezaan ini tidaklah bermaksud dajjal merupakan suatu khayalan. Bahkan ini menjadi bukti bahawa sebelah daripada mata dajjal itu buta. Untuk menjelaskan hal ini lagi, penulis memberi contoh yang lebih jelas. Kata penulis, jika tersebar sesuatu khabar tentang terhempas sebuah kapal terbang, kemudian media berbeza dalam melaporkan bilangan penumpang yang terbunuh, ada media menyatakan 100 orang, ada yang lain mengatakan 105 orang sebagai contoh. Jadi adakah perbezaan ini bermakna berita terhempas kapal terbang itu tidak betul ? . Bahkan yang sebenarnya, perbezaan khabar bilangan penumpang terbunuh ini sepatutnya lebih menguatkan berita terhempas kapal terbang, dan bukan menafikannya.
Kemudian, penulis menasihati kita supaya tidak terlalu cepat dalam mentarjih sesuatu hadis sahih yang berbeza antara satu sama lain. Beliau menyatakan bahawa seseorang perlu mengumpul keseluruhan periwayatan terlebih dahulu. Jika periwayatan itu saling berbeza, maka perlu kepada mengharmonikan periwayatan. Kalaulah tidak ada ruang untuk diharmonikan, akhirnya barulah boleh ditarjihkan. Contoh yang diberi oleh penulis adalah hadis tidak akan sampai kepada kamu satu zaman kecuali zaman tersebut lebih teruk daripada zaman sebelumnya. Hadis ini seolah-olah bercanggah dengan hadis kedatangan Al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa a.s, kerana zaman kedatangan mereka lebih baik daripada zaman sebelumnya. Jadi dalam keadaan kedua-dua hadis ini sahih, maka perlu kepada pengharmonian antara dua riwayat ini. Kata penulis, hadis yang pertama itu menerangkan tentang kaedah umum bagi peredaran zaman, manakala hadis kedua pula mengecualikan zaman al-Mahdi dan Nabi Isa daripada kaedah umum tersebut.
Kedua : Dilalah hadis
Sudut kedua yang dibincangkan oleh Dr Sharf adalah tentang dialalah hadis. Kata beliau, dalam memberikan makna sesuatu hadis, kita mestilah kekal dengan makna hakikat terlebih dahulu sebelum memberi makna secara majaz. Syarat untuk menukarkan makna daripada hakikat kepada majaz adalah perlu ada qarinah yang kuat. Jika tiada qarinah, sesuatu perkataan tidak boleh berubah maknanya daripada hakikat kepada majaz.
Contoh, ada hadis yang menerangkan tentang kedatangan Nabi Isa a.s pada akhir zaman kelak. Kita tidak boleh mengatakan hadis ini membawa maksud berakhirnya peperangan dan tersebarnya agama Islam. Kerana kedatangan Nabi Isa a.s terdapat perincian-perincian yang tertentu yang mustahil untuk ditafsirkan sedemikian. Terdapat hadis-hadis yang menerangkan ciri-ciri warna kulitnya, sifat rambutnya, dimana turunnya, bagaimana turun dan sebagainya. Jadi adakah sifat-sifat ini bermaksud berakhirnya peperangan? Atau tersebarnya dakwah islam?
Begitu juga hadis tentang dajjal, bukanlah hadis itu bermaksud kerosakan kehidupan manusia. Kerana terdapat juga riwayat yang menerangkan tentang sifat-sifat jasadnya secara terperinci, seperti rambutnya kerinting. Adakah boleh ditafsir kerosakan kehidupan seseorang dengan rambut yang kerinting?

Pada tahun 70-an , ada yang mendakwa bahawa Raja Hasan bin Talal adalah Al-Mahdi yang ditunggu. Apabila disebut kepadanya bahawa nama Al-Mahdi adalah Muhammad bin Abdullah, bukannya Hasan bin Talal, beliau menjawab bukankah nama Muhammad itu ‘Hasan’ (baik) ? maka jawabnya betul nama Muhammad adalah nama yang baik. Katanya itulah yang dimaksudkan dengan Muhammad. Adapun yang kedua, Abdullah, adalah nama datuk kepada Raja Hasan, bermaksud yang kedua itu dinisbahkan kepada datuknya. Maka jadilah Muhammad bin Abdullah. Kata penulis, ini adalah contoh golongan yang bermain-main dengan lafaz. Mereka mengubah lafaz hakiki kepada makna majazi tanpa qarinah yang betul.

Seterusnya, penulis menyatakan pemahaman sesuatu hadis mestilah selari dengan al-quran dan as-sunnah yang sahih, dan tidak boleh memahami hadis jika berbeza dengan kedua-dua sumber ini. Kemudian beliau jugak meyarankan kita agar berhati-hati dalam menisbahkan sesuatu hadis kepada perkara-perkara tertentu kecuali apabila hadis tersebut menerangkan dengan jelas dan penerangan itu disepakati oleh ulamak. Jika terdapat perselisihan dikalangan ulamak tetangnya, hadis tersebut tidak boleh dinisbahkan secara pasti. Apabila perbezaan seperti ini berlaku, lebih selamat kita katakan dengan lafaz ‘boleh jadi hadis tersebut bermaksud sedemikian’ tanpa menisbahkan secara pasti.
Bersambung..

'Ukhuwah Terbina, Kebajikan Terlaksana'

BEDAH BUKU ONLINE MPKJ. BAHAGIAN 1

[BIRO AKADEMIK 14/15]
BEDAH BUKU ONLINE MPKJ

oleh : Abdul Muhaimin bin Rapingi, Tahun 3, Uni. of Jordan
tajuk buku : خريطة المستقبل، د.شرف القضاة

BAHAGIAN 1
Pendahuluan
Semua dikalangan kita beriman dengan adanya hari kiamat. Bahkan tanda-tanda kecil datangnya hari kiamat sudah dapat dilihat pada masa sekarang. Sebagai penuntut, kita sepatutnya mengkaji tentang hari kiamat berdasarkan dalil-dalil daripada al-quran dan as-sunnah. Antara kitab yang menceritakan khusus tentang hal ini adalah kitab “Gambaran masa depan didalam hadis-hadis nabi –hadis berita gembira dan fitnah akhir zaman-“ oleh Prof Dr Sharf Al-Qudoh, pensyarah hadis, univ of Jordan. Maka saya suka untuk berkongsi tentang disiplin seorang muslim ketika beineraksi dengan hadis-hadis seperti ini. Maklumat ini adalah gambaran umum daripada kitab yang ditulis oleh Dr Sharf al-Qudoh.
Disiplin berinteraksi dengan hadis-hadis masa depan
Dr Sharf menetapkan dua sudut yang perlu diambil perhatian dalam berinteraksi dengan hadis-hadis ini. Yang pertama adalah kesahihan hadis itu sendiri, dan yang kedua adalah dilalah terhadap sesuatu hadis.
1- Kesahihan hadis
Penulis menyarankan kita untuk menitikberatkan kesahihan hadis sebelum membicarakan tentang teksnya. Kita perlu pastikan bahawa sesuatu hadis itu sahih terlebih dahulu, samada ianya hadis sahih, atau sahih lighairih, atau hasan, atau hasan lighairih.
Kemudian penulis juga meyatakan hadis yang dibincangkan mestilah hadis marfu’ yang sampai kepada nabi saw. Ini kerana jika hadis itu bertaraf mauquf ataupun maqtu’, boleh jadi khabar yang disebutkan itu merupakan khabar-khabar israiliyyat. Bahkan al-quran sendiri menyebut bani Israel memanipulasi kitab-kitab mereka dan menyelewengkannya. Perkara ini juga disebut oleh pengkaji barat sendiri. Tetapi jika hadis mauquf yang hukumnya bertaraf marfu’, maka ianya diterima dengan syarat sahabat yang meriwayatkan hadis ini tidak mengambilnya daripada ahli kitab. Penulis juga menyatakan hadis yang dimaksudkan bukanlah semata-mata hadis mutawatir, bahkan diterima hadis ahad yang bertaraf sahih dan hasan.
Seterusnya penulis menerangkan kepada kita tentang perbezaan khilaf akal dan juga khilaf adat. Perbezaan antara dua perkara ini merupakan suatu perbezaan yang besar. Penulis menyatakan mukjizat para anbia’ semuanya berbeza pada adat dan bukannya akal. Hadis-hadis yang sahih tidak akan berbeza dengan akal manusia. Kemungkinan sesuatu perkara diriwayatkan oleh nabi seolah-olah bercanggah dengan kita. Maka perlu diteliti adakah percanggahan itu percanggahan akal, ataupun percanggahan adat. Sebagai contoh, riwayat yang menyatakan haiwan bercakap, ada sebahagian golongan menolak periwayatan ini, dengan alasan mustahil haiwan boleh bercakap sedangkan tiada peti suara. Ini adalah contoh percanggahan adat, kerana hari ini teknologi mencipta radio dan televisyen mampu mengeluarkan suara sedangkan ia tidak ada peti suara. Kemudian penulis meyatakan contoh percanggahan akal adalah seperti akidah nasrani yang mngatakan Tuhan itu tiga, dan dalam masa yang sama juga ia satu. Ini adalah contoh paling besar dalam percanggahan akal. Kerana akal tidak mampu menerima sesuatu yang tiga itu satu, dan yang satu itu adalah tiga.
Bersambung…
'Ukhuwah Terbina, Kebajikan Terlaksana"