Tuesday, 16 October 2012

Saya Pelajar Jordan!

Pertama kali menjejakkan kaki di Bumi Barakah Syam,Jordan,hati saya melonjak girang.Dikala itu,masih terngiang-ngiang di cuping telinga,suara ayahanda dan bonda tercinta,Abd Hamid Awang dan Fudzilah Ibrahim menyampaikan amanat serta azimat agar saya senantiasa memperbetulkan niat di hati.Tinggal di negara orang tak seperti di negara sendiri..Bak kata pepatah,’’Hujan Emas Di Negeri Orang,Hujan Batu Di Negeri Sendiri,Lebih baik di Negeri Sendiri’’.

          Sememangnya,terdapat banyak sebab untuk saya berada di Bumi Jordan ini.Sebelum saya melangkahkan kaki ke sini,pelbagai persoalan perihal Jordan menerjah minda.Justeru,saya mengambil keputusan untuk terus bertanya kepada beberapa orang senior yang telah berada di sini tentang keadaan,persekitaran,cuaca dan lain-lain lagi berkenaan negara Jordan.Ternyata,jawapan mereka telah menarik minat saya untuk menyambung pelajaran ke Jordan.


         Faktor utama saya memilih Jordan adalah kerana umumnya,Bahasa Arab yang digunakan oleh masyarakat Jordan merupakan bahasa arab fushah (rasmi) berbanding negara-negara arab yang lain.Namun,tidak dapat dinafikan bahawa mereka tetap menggunakan bahasa arab ammiah (kampung) bagi sesetengah perkataan.Namun,peratusan penggunaan bahasa arab ammi mereka sangat rendah jika dibandingkan dengan fushah.Para pensyarah universiti di sini juga menggunakan bahasa arab fushah bagi menghormati kalangan pelajar bukan dari negara Jordan.Disebabkan itu,kebanyakan pelajar Malaysia yang berada di Jordan lebih lancar bertutur dalam bahasa arab fushah.



          Di sini,kami menggunakan perkhidmatan pengangkutan coaster(kenderaan yang saiznya lebih besar dari van,lebih kecil dari bas dan dapat memuatkan lebih kurang 22 penumpang.) untuk berulang-alik ke universiti.Saya begitu tersentuh melihat layanan mesra penuh hormat yang diberikan oleh masyarakat Jordan kepada ‘orang luar’  seperti pelajar Malaysia,Indonesia,Thailand,Filipina dan lain-lain,terutamanya terhadap golongan wanita.Sekiranya ada penumpang wanita yang masuk ke dalam coaster dan didapati tiada tempat untuk duduk,penumpang lelaki pasti akan bangun untuk memberikan tempat kepada wanita tersebut kerana bagi mereka,lelaki yang duduk sedangkan ada wanita yang berdiri merupakan satu keaiban.Saya sangat bersetuju dangan fahaman itu.Justeru,saya turut rasa bersyukur atas layanan istimewa yang diberikan.Alhamdulillah.Keadaan begini,amat ketara perbezaanya jika dibandingkan dengan negara-negara arab lain dimana penumpang lelaki dan perempuan dilayan sama-rata.Tiada istilah saling hormat-menghormati,bantu-membantu mahupun  belas ihsan.

      
     Menurut fakta,bilangan pelajar Malaysia yang berada di Jordan masih kurang berbanding Mesir dan lain-lain.Di Mesir khususnya,ternyata sebilangan arab di sana sudah mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dek kerana lambakan pelajar Malaysia yang membanjiri Bumi Mesir.Manakala,di Jordan,situasi sebegitu masih belum berlaku.Mungkin juga,kerana bilanagan pelajar Malaysia di sini yang agak sedikit.Jadi,saya sebagai salah seorang pelajar jurusan agama bersedia membuat pilihan untuk memilih Jordan agar dapat mengimarahkan  Bumi Syam ini bersama sahabat-sahabiah Malaysia lain selain dapat mendidik diri agar lebih berani dan berdikari.

        
        Tatkala tiba musim syita’ (sejuk),pelajar-pelajar junior seperti sayalah yang begitu teruja menyambutnya.Saya serta sahabat-sahabat lain,begitu berharap agar dapat bermain salji dan membina ‘Snow Man’ seperti yang sering kita tonton di kaca televisyen.Alhamdulillah,Allah memberikan kami lebih dari apa yang kami jangkakan.’’Salji turun 4 kali tahun ni..Alhamdulillah!’’,ujar sahabat karib saya,Nur Atikah Ahmad sambil melebarkan senyuman menawannya.Sepanjang 1 tahun 2 bulan berada di sini,saya telah mengalami satu ‘kenangan terindah’ yang dapat saya catatkan dalam lipatan sejarah hidup ini.Ketika kami(ahli rombongan seramai kira-kira 16 lelaki dan 6 perempuan) meneruskan jaulah kami selama 4 hari 3 malam,kami telah menempuh satu peristiwa yang TERLALU ISTIMEWA buat diri ini apabila coaster yang kami naiki telah terperangkap dalam ribut salji tebal pada paras suhu -10’c.Alhamdulillah,kami berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang membawa kami menaiki trak penyelamat ke tempat perlindungan sementara.Sesungguhnya,di sebalik setiap kejadian yang ditakdirkan berlaku,terselit gugusan hikmat tersembunyi.

     Di Bumi Syam ini juga,para pelajar dapat memilih untuk menceburi bidang yang mereka inginkan melalui persatuan yang sedia ada.Saya sendiri,memilih untuk memajukan diri dalam bidang IT,dengan menjadi ahli bagi sebuah unit khas bergelar Techno Crew yang ditugaskan oleh pihak Persatuan PERMATA  untuk mengawalselia aset-aset teknikal persatuan.’’Anda kuasai teknologi,anda kuasai dunia’’.Itulah untaian kata seorang lagi sahabat saya yang menyebabkan saya mulai sedar bahawa kita sangat memerlukan ilmu luar bukan sekadar ilmu agama sahaja.Dengan menguasai IT,kita dapat menebarkan dakwah dengan lebih luas kepada masyarakat mahupun dunia.

    Tetapkan tujuan sebagai keutamaan,agar kita mampu melangkah meniti tali-tali kehidupan yang tidak terpesong dari landasan tujuan yang jitu.

-Sutera Iman
 -Thn 2,Fiqh Wa Usuluh,
Mu’tah University,
The Hashemite Kingdom of Jordan.



     

      

    
  


    

1 comment:

  1. ana berminat untuk melanjut kan pelajaran ke jordan.. tapi usia ana masih muda.. :) jadi ana terfikir apakah basic untuk memasuki ke unversiti di jordan ? boleh ana tawu ?

    ReplyDelete