Saturday, 13 October 2012

Ziarah Mahabbah Ke Amman

Tanggal 4 Oktober 2012, suatu program ringkas anjuran Ahli Lembaga Tadbir (ALT) MPKJ sesi 2012/2013 telah diadakan di mantiqah Amman iaitu program Ziarah Mahabbah antara wakil kepimpinan MPKJ dan para mahasiswa University of Jordan, Amman. Program ini diketuai oleh saudara Ahmad Idzuddin bin Zubit selaku Yang Di-Pertua MPKJ, dan turut disertai oleh beberapa orang ALT MPKJ yang lain iaitu saudara Ilham Hussainy bin Abdul Raup (Setiausaha Agung), saudara Abdul Mu’min bin Mohd Idrus (Exco Biro Kebajikan), saudara Muhammad Asyraf bin Abdul Razak (Perwakilan MPKJ di Amman) dan saudara Luqman Ul-Hakiim bin Faisal (Perwakilan MPKJ di Irbid). Antara tujuan program ini dianjurkan ialah untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh mahasiswa-mahasiswi  Kedah di sana serta meninjau keadaan dan kehidupan mereka secara lebih dekat. Selain itu, antara tujuan penganjuran program ini juga adalah untuk membincangkan jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kedah di University of Jordan, Amman.

Sebahagian pelajar baru dari Universiti Jordan, Amman
Untuk mencapai objektif tersebut, suatu pertemuan antara para mahasiswa UJ dan wakil ALT
MPKJ telah diadakan di Bayt Imtiyaz (kediaman saudari Iffah bt Abdul Razak) dan telah berlangsung hampir dua jam. Antara perkara dan isu yang telah dibincangkan adalah beberapa situasi yang dihadapi oleh para mahasiswa UJ terutamanya berkaitan dengan isu kenaikan kadar yuran yang terlalu tinggi di University of Jordan yang turut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan mahasiswa Malaysia seluruh Jordan. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan usaha yang keras daripada beberapa pihak iaitu pihak Education Malaysia Jordan (EMJ), Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) dan Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA), kadar yuran dapat dikurangkan daripada taraf duwali ke taraf mawazi. Pada masa yang sama, dalam usaha mengurangkan beban para mahasiswa, pihak PPMA juga telah memberi beberapa pilihan dan inisiatif kepada mereka sama ada kekal sebagai mahasiswa UJ pada semester hadapan ataupun berpindah ke universiti lain jika kadar yuran tidak berubah ataupun kurang berkemampuan dalam membiayai kos yuran dan sara hidup yang agak tinggi di Amman. Namun, setiap pilihan terletak di tangan mahasiswa untuk menentukan yang terbaik buat diri pada masa hadapan. Tiada paksaan ataupun tekanan daripada mana-mana pihak sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, apa jua keputusan yang dipilih oleh mereka, setiap pihak khususnya warga MPKJ sentiasa mendoakan yang terbaik buat sahabat-sahabat seperjuangan di UJ. Dan mudah-mudahan ujian yang Allah berikan dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Sekian, wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment