LAPORAN KEDATANGAN ROMBONGAN DELEGASI DARI
JABATAN
HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH (JHEAIK)
Pada 4 September 2012 bersamaan hari Selasa, seramai 82 orang mahasiswa
di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah
selamat tiba di Queen Alia International Airport (QAIA) pada jam 5.15 pagi
sambil diiringi oleh 3 orang pegawai daripada JHEAIK iaitu Dato’ Hj Noh bin
Dahya selaku Pengarah JHEAIK, Tuan Syeikh Azhari bin Mohammad selaku Pegawai
Pendaftar Sekolah-sekolah Agama JHEAIK dan Encik Ismail bin Zakaria selaku
Pegawai di Bahagian Pendidikan JHEAIK.
Ketibaan mereka di lapangan terbang
telah disambut oleh Pegawai Atase Education Malaysia Jordan (EMJ), Encik
Saifuddin bin Hussin, pihak Sekretariat Sambutan Pelajar Baru se-Jordan (SPB
se-Jordan), wakil kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan
(MPMMJ), wakil kepimpinan persatuan pelajar di setiap zon iaitu PERMAI (Irbid),
PERMATA (Mu’tah), PRISMA (Mafraq) dan PPMA (Amman), wakil sekretariat SPB di
setiap zon, dan wakil kepimpinan Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ). Sesi
taklimat ringkas telah diadakan di ruang legar lapangan terbang tersebut, dan
kemudiannya para pelajar dibahagikan mengikut mantiqah masing-masing. Seramai
28 orang telah ditempatkan di Irbid, 37 orang di Mu’tah, 15 orang di Amman dan
3 orang di Mafraq. Perjalanan para
pelajar ke mantiqah masing-masing diuruskan oleh sekretariat SPB bagi mantiqah
tersebut dengan menaiki beberapa buah bas yang telah disediakan. Perjalanan
pegawai delegasi yang turut serta dalam rombongan ini telah diuruskan oleh
wakil kepimpinan MPKJ iaitu saudara Ilham Hussainy bin Abdul Raup dan saudara
Muhammad Azim bin Mohd Fadzil.Sebahagian pelajar dari Universiti Mu'tah, Karak |
Setelah selesai urusan di lapangan terbang, para pegawai tersebut dibawa
menuju ke Sadeen Hotel and Suites, Khalda, Amman untuk berehat setelah seharian
menguruskan kedatangan para pelajar baru ke Jordan. Destinasi pertama yang
dituju ialah Balad Amman, iaitu sebuah kawasan membeli belah yang tidak asing
lagi bagi para pelancong ke Jordan. Kawasan tersebut juga merupakan salah
sebuah bandar membeli belah yang terbesar dan tertua di Jordan. Pada hari
kedua, para pegawai telah dibawa bertemu dengan Pengarah Education Malaysia
Jordan (EMJ) iaitu Prof. Madya Dr Mohd Azidan bin Abdul Jabbar di pejabatnya
yang terletak di Sweifeh, Amman. Beberapa perkara telah dibincangkan dalam
pertemuan tersebut khususnya yang berkaitan dengan isu keselamatan, isu
penguasaan bahasa arab dalam kalangan pelajar dan sebagainya lagi. Seterusnya,
para pegawai telah dibawa menuju ke mantiqah Mu’tah yang menempatkan sebahagian
besar mahasiswa Kedah yang menuntut di sana. Destinasi pertama yang dituju
setelah tiba di sana ialah Masjid Jaafar bin Abi Talib, yang menempatkan 3
makam sahabat agung di zaman Rasulullah SAW iaitu Makam Saiyidina Ja’afar bin
Abi Talib, Makam Zaid bin Harithah dan Makam Abdullah bin Rawahah iaitu salah
seorang penyair terkenal di zaman baginda. Selepas itu, pihak rombongan
berhenti rehat dan makan tengah hari di salah sebuah rumah pelajar di sana
sebelum menghadiri slot pertemuan dengan warga MPKJ di PusKMa. Slot pertemuan
tersebut dimulakan dengan ucapan wakil kepimpinan MPKJ, seterusnya ucapan
daripada En Ismail bin Zakaria dan diakhiri dengan ucapan daripada Dato’ Hj Noh
bin Dahya yang berlangsung hampir 1 jam. Setelah berakhirnya sesi tersebut,
para pegawai terus dibawa menuju ke Laut Mati yang perjalanannya memakan masa
hampir 2 jam dari Mu’tah, dan kemudiannya pulang bermalam di hotel. Pada hari
ketiga yang merupakan hari terakhir lawatan para pegawai ke Jordan, mereka
dibawa ke mantiqah Irbid yang merupakan kawasan penempatan pelajar Malaysia
yang paling ramai iaitu hampir 1800 orang. Kawasan Irbid menjadi tumpuan para
pelajar Malaysia kerana di situ menempatkan 2 buah universiti iaitu Jordan
University of Science and Technology (JUST) dan Universiti Yarmouk. Para
pegawai dibawa bersiar-siar dan bergambar di kawasan bandar dan universiti
sementara menunggu waktu malam. Pada sebelah malamnya, sebelum berangkat menuju
ke lapangan terbang, para pegawai sempat bertemu dan bermesra dengan sebilangan
pelajar baru dan lama sambil meninggalkan beberapa pesanan, nasihat dan panduan
yang berguna buat semua sebelum meninggalkan bumi Irbid. Rombongan tersebut
telah selamat pulang ke Malaysia pada jam 2.15 pagi, bersamaan 7 September
2012.
Kedatangan para pegawai dari JHEAIK sangat bermakna dan bererti buat
warga MPKJ. Keceriaan dan pengalaman bersama mereka tidak dapat dilupakan
khususnya buat para pengiring rombongan tersebut. Semoga kehadiran dan
kedatangan mereka memberikan manfaat buat semua sama ada secara langsung
ataupun tidak langsung. Mudah-mudahan bertemu lagi di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment