Saturday 29 September 2012

Kenyataan Rasmi YDP MPKJ Berhubung Isu Penetapan 'Yuran Duwali' Kepada Pelajar Malaysia Di Universiti of Jordan, Amman.

Assalamualaikum.
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian, 
Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli MPKJ yang melahirkan rasa prihatin dan simpati dalam isu yuran jamiah di Universiti of Jordan, Amman.
Untuk pengetahuan semua ahli MPKJ, wakil Kepimpinan MPKJ Sesi ini ada merujuk Pimpinan MPMMJ, PPMA dan anak-anak Kedah di Amman berkaitan isu ini. Makluman yang kami dapat dari mereka ialah berkaitan respon balas dari pihak Universiti Of Jordan yang mengatakan bahawa pelajar baru yang memohon belajar di universiti ini perlu menjelaskan yuran universiti yang berstatus 'Yuran Duwali', terkecuali 20 orang sahaja mengikut kuota yang diluluskan untuk pembayaran yuran berstatus 'Yuran 'Adi'. Kalau ikut pada awalnya mereka hanya perlu menjelaskan yuran dalam bentuk 'Yuran Mawazi',tetapi kali ini jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya iaitu dalam bentuk 'Yuran Duwali'. Anak Kedah di Amman adalah seramai 16 orang. Daripada bilangan ini hanya seramai 3 orang sahaja yang mendapat tempat untuk pembayaran Yuran 'Adi. Saya mendapat tahu ada sebilangan dari kita yang tertanya-tanya apakah tindakan MPKJ dalam isu ini. Dengan ini, saya akan memaklumkan kenyataan rasmi berkaitan isu tersebut.

Setiap perkara atau isu yang Pimpinan MPKJ terima perlulah dilihat dengan teliti. Kami Pimpinan MPKJ tidak boleh terus memberikan respon balas kepada ahli-ahli MPKJ dengan mudah begitu sahaja tanpa mengetahui kondisi sebenar perkara atau isu yang berlaku terutama dalam isu yuran di Universiti Of Jordan. Kami cuba mendapatkan maklumat dari banyak sumber supaya ianya lebih yakin dan tepat. Cara ini bertepatan dengan firman Allah supaya kita jelas dalam sesuatu isu apabila datangnya sesuatu berita atau maklumat. Begitu juga kalau sekiranya ada dalam kalangan Kepimpinan MPKJ sesi ini tidak mengetahui isu ini secara mendalam,perkara tersebut bukanlah suatu kepelikan kerana kebanyakan maklumat akan dipusatkan kepada saya sendiri sebagai YDP MPKJ. 
Rakan-rakan sekalian,
Setelah kami pihak Kepimpinan MPKJ melaksanakan Mesyuarat Ahli Lembaga Tadbir MPKJ pada hari Jumaat, 28 September yang lalu, di sini saya ingin membuat satu kenyataan berkaitan isu ini.
Saya mencadangkan kepada semua ahli MPKJ khususnya anak-anak Kedah yang baru di Amman, bahawa kita perlu menerima berita ini dengan tenang dan redha. Makluman terkini yang saya dapat ialah pihak EMJ telah membuat perjanjian dengan pihak Universiti Of Jordan atau pihak pengurusan Universiti-Universiti Se-Jordan untuk bertemu lagi dengan mereka. Pihak EMJ turut bersedih dan kecewa dengan Pihak Universiti Of Jordan yang telah melanggar perjanjian bahawa kuota 150 orang akan diberikan kepada Pelajar Malaysia untuk pembayaran yuran berstatus 'Yuran A'di'. Dikatakan juga bahawa mereka mempunyai dokumen perjanjian dengan pihak universiti. Sekiranya tidak berjaya, pihak EMJ akan terus berjumpa dengan Menteri sebagai langkah terakhir. Walaupun perkara ini telah ditetapkan oleh Universiti of Jordan, saya nampak bahawa peluang masih ada sepertimana yang pernah berlaku kepada pelajar-pelajar baru tahun lepas di Universiti Yarmouk. Pada asalnya mereka ditetapkan untuk membuat pembayaran dalam bentuk 'Yuran Mawazi',tetapi setelah diusahakn beberapa langkah selepas itu akhirnya mendapat natijah yang baik iaitu pembayaran yuran bertukar kepada 'Yuran 'Adi'. Alhamdulillah.
Dalam mesyuarat Ahli Lembaga Tadbir ini juga kami ada merancang beberapa tindakan sekiranya usaha pihak EMJ berkaitan permohonan dari pembayaran berstatus 'Yuran Duwali' kepada 'Yuran 'Adi' tidak berjaya pada akhirnya.   Antaranya ialah kutipan derma kilat dari ahli MPKJ untuk membantu pelajar-pelajar Kedah yang baru di Amman, berhubung dengan pihak UZS berkaitan bantuan kewangan yang ingin dipohon oleh MPKJ, memohon Sumbangan Khas dari institusi di Kedah yang boleh membantu permasalahan ini atau memohon kepada Jabatan Zakat Kedah untuk mempercepatkan pengurusan masuk duit pelajar-pelajar baru di Amman yang memohon zakat kedah pada sesi ini. Tindakan-tindakan ini adalah mengikut keperluan dengan melihat kondisi pelajar-pelajar Kedah yang baru di Amman. 
Saya tidak katakan bahawa kita perlu berdiam diri sahaja tanpa melakukan apa-apa perkara,sebaliknya kita boleh terus untuk memberi cadangan kepada pihak yang menguruskan isu ini, dalam masa yang sama, kita selaku hambaNya perlulah untuk terus mendekatkan diri kepadaNya dengan cara menjaga ibadah diri dan berdoa supaya dipermudahkan urusan ini. Saya yakin rakan-rakan sekalian bahawa Allah hendak melihat tindak balas hambaNya dalam perkara ini. Dalam Hadis Qudsi, Nabi bersabda bahawa Aku(Allah) berada pada sangkaan hambaKu. Oleh itu,teruslah bersangka baik dengan Allah supaya kita mendapat natijah yang baik. InsyaAllah.
Mari sama-sama untuk kita terus memberi keprihatinan dalam isu kebajikan ahli, eratkan hubungan sesama kita dan hidupkan suasana harmoni dalam MPKJ. Sekian, terima kasih.

(3B: Beraspirasi, Berintegriti, Berkredibiliti)
AHMAD IDZUDDIN BIN ZUBIT
Yang Dipertua,
Majlis Pelajar Kedah Jordan Sesi 2012/2013

1 comment: