Tuesday, 11 September 2012

Akhlak dan Adab

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
"Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain".
Riwayat Muslim
Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."
Riwayat Bukhari dan Muslim

i) Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.

ii) Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.

iii) Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.

iv) Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.
إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi, yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat
(Surah As-Suad
 38: Ayat ke 46)
 

No comments:

Post a Comment