Sunday, 18 November 2012

Ucapan Dasar Yang Di-Pertua MPKJ Sesi 2012/13


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Yang berbahagia Pengarah EMJ, Prof Dr Azidan,  yang dihormati,  Pegawai Atase Pendidikan EMJ,  Ustaz Saifuddin Bin Husin, yang dikasihi mantan Yang Dipertua MPKJ sesi 2011/2012, Saudara Atiqullah Mursyid Bin Abdul Halim, barisan mantan kepimpinan MPKJ sesi 2011/2012, barisan kepimpinan MPKJ sesi 2012/ 2013, dan seterusnya saudara- saudari ahli MPKJ yang dihormati Allah sekalian.
Firman Allah S.W.T:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
( Surah as-soff, ayat 4 )
Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Presiden Indonesia) pernah mengatakan, “Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurutnya lagi, “pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergelumangan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat.”


Alhamdulillah, marilah bersama- sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dan marilah kita berselawat dan mengutuskan salam ke atas junjungan besar  Nabi Muhammad S.A.W, dan ahli keluarga baginda serta para sahabat dan tabiin. Atas keredhaan dan keizinannNYA  maka pada hari yang bersejarah ini, kita semua  dapat berhimpun dalam satu majlis yang amat bermakna iaitu Mesyuarat Agung MPKJ sesi 2011/ 2012.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli MPKJ di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab selaku Yang Dipertua MPKJ bagi sesi 2012/ 2013. Saya dengan rendah diri dan rela hati menerima pelantikan ini. Terima kasih diucapkan kepada barisan kepimpinan yang lama, tahniah dan takziah kepada barisan kepimpinan yang baru.
Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

MPKJ yang ditubuhkan di Jordan ini merupakan salah satu wasilah untuk mengembang dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada  kepimpinan negara kelak. MPKJ juga merupakan pengantara pelajar dengan pihak- pihak yang berkaitan dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul di Jordan khususnya yang berkaitan dengan kebajikan anak- anak Kedah.  Saya mengharapkan barisan pimpinan yang baru dilantik ini dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab serta amanah dalam apa jua tugasan agar kebajikan ahli terus terpelihara.      
Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

3B: Beraspirasi, Berintegriti, Berkredibilit.
Saban tahun tema atau motto diulang cetak oleh barisan kepimpinan MPKJ pada sesi-sesi yang lepas bagi melayari setahun lautan kepimpinan. Bersesuaian, bertepatan, dan masih relevan dengan penubuhan MPKJ sebagai badan kebajikan anak negeri yang membentuk kebersamaan terutamanya di antara pimpinan dan ahli serta melaksanakan reformasi pentadbiran, maka tema atau motto ini diguna pakai pada sesi kepimpinan kali ini. Saya yakin dengan tema ini, MPKJ kelihatan gagah dari sudut luaran dan dalamannya.

Untuk memacu MPKJ ke arah menjadi sebuah persatuan yang proaktif dari segi menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan ahli serta menjaga kebajikan anak- anak Kedah ke arah yang lebih cemerlang, maka tidak seharusnya MPKJ menjadi persatuan yang berideologi semata- mata. Maka dengan itu, MPKJ akan menawarkan program berkebajikan yang berkait langsung dengan kehidupan anak- anak Kedah keseluruhannya di samping berupaya melakukan transformasi bagi mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain.

Selain itu, MPKJ akan menjalankan tanggungjawab dengan mengambil langkah- langkah reformasi dalam pembaharuan pentadbiran demi mempertingkatkan imej MPKJ sebagai sebuah badan kebajikan anak negeri yang bersistem ala-ala korporat melalui pantauan yang cekap oleh AMT ke atas AME dan perwakilan- perwakilan zon serta maklumat penting dan besar hendaklah dipusatkan dengan segera kepada YDP MPKJ. Di samping itu, langkah- langkah progresif yang diambil termasuklah memperkemaskan saluran maklumat utama yang berkaitan melalui group fb dan blog MPKJ . Pihak kepimpinan MPKJ pada kali ini turut meneliti dan menghalusi peranan  ALT dalam membina hubungan dua hala yang lebih cekap dalam segala perkara  kepada ahli dan pihak- pihak yang mempunyai hubungan dengan MPKJ sendiri.

Sebelum mengakhiri kalam saya, di sini saya mewakili seluruh soff kepimpinan MPKJ sesi  2012/2013 mengharapkan sokongan penuh dari kalian dalam merealisasikan bentuk gerak kerja yang santai, tenang dan harmoni tetapi dapat memberikan kesan dan natijah yang terbaik buat semua. Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami akan berusaha mengemudikan bahtera di lautan ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran.

Sekian. Terima kasih.            
  

No comments:

Post a Comment