Sungguh pun diriku tak terduga, bagaikan
mimpi berada di alam yang fana. Mata memandang tanpa berkelipan, melihat padang
pasir yang luas terbentang. Tanggal 21 Ogos 2011 menjadi sejarah dan tuah,
kerana berjaya juga ku jejak kaki di bumi yang penuh barakah, serta dengan sirah
nabawiyah. Terkaku sebentar melayan fikiranku ini, bagaikan tidak percaya
layakkah aku berada disini? Mengapa ku katakan begitu? Mari kita menyelami
dengan rasa hati, akan coretanku ini.
Sebelum Ke Jordan,
“Betul ke nak pergi Jordan?”
Itulah ungkapan yang sering ditanya oleh semua
orang kepadaku, samada sahabat, mahupun keluarga yang terdekat. Mereka bagaikan
tidak percaya, apakah aku sudah melakukan kerja gila? Mengapa? Kerana bagi
mereka. mungkin Jordan itu hanya untuk orang yang benar-benar layak sahaja.
Jika nak dibandingkan dengan diriku memang jauh membatu, pada andaian mereka
itu.
Diatas
kesabaran dan kesungguhan yang aku tonjolkan, akhirnya keluargaku merelakan
pemergianku, paling banyak yang membantu ialah ibuku. Seorang yang tua, tetapi
mempunyai hati yang sangat memahami. Pernah dia berkata kepadaku sebelum ku
sampai disini,
“Ashraf, hang saja sorang anak mak yang
mengaji agama, abang dan kakak hang dah tak ambik dah bidang agama, harap
sangat-sangat jika mak mati pun ada juga anak mak yang dapat imamkan dan baca
talkin untuk mak. Jangan peduli orang lain, kalau orang lain boleh buat, awat
pulak hang tak boleh buat?”
Nasihat
si emak tua yang usianya 62 tahun lamanya, berbagai rintangan dia lalui dalam
menjaga tujuh orang adik beradik kami. Alhamdulilah kesemua adik beradik
ku sudah berjaya dalam berlari mengejar cita-cita. Sehingga berjaya mengubah
nasib keluarga, tetapi berbeza pula aku ini, sifatku juga kadang-kadang yang
banyak berbeza dari mereka.
Ku sedar aku tidak sehebat seperti orang
lain, tidak sehebat abang ku yang mampu mengubah nasib keluarga, juga tidak
hebat seperti kakak ku yang mampu menjadi guru cemerlang yang berjaya, tetapi
aku? Aku? Aku? Itu persoalan yang sering dipertikaikan. Akhirnya tekad ku untuk
ke sini sudah hampir berjaya ketika itu. Segala jeritan sinis yang dilontarkan,
ku ambil jadikan sebagai sandaran untuk ku sahutkan cabaran.
Lambaian Bumi Syam,
Semakin dekat semakin berdebar-debar ku
rasa, 8 jam perjalanan menaiki kapal terbang membuka mata dan minda. Ketika
mana ku melangkah keluar ke balai ketibaan Lapangan Terbang Queen Alia, Jordan.
Diriku bagaikan tidak percaya, “Eh! benar kah aku di Jordan?” Tanya aku
kepada diriku sendiri.
Mana tidaknya, budak yang tidak skema,
tidak soleh, tidak itu dan tidak ini, rupanya berjaya juga menjejakkan kaki
disini. Tetapi ku datang sini membawa misi dan visi, yang penting aku sudah
bertekad untuk ubah diriku ini. Ubah segalanya, dari jahat ke baik, dari buruk
ke cantik. Aku sedar jika aku masih di tapuk yang lama ianya tidak akan membawa
aku kemana-mana.
Alhamdulilah lambaian bumi syam sudah ku sambut, setahun
juga ku sudah menjejakkan kaki disini. Peluang belajar di universiti aku
gunakan sebaiknya. Suara manja yang sinis sudah diam menyepi, dan sekarang aku
giat berlari. Mengejar cita-cita yang di impikan oleh setiap insan yang bernama
manusia.
Setahun Sudah Berlalu,
Bagaikan baru bagun dari terlena,
sedar-sedar sudah setahun berlalunya. Bagaikan tidak percaya, tetapi inilah
hakikatnya. Pernah juga ditanya kepada ku. Mengapa memilih Jordan sebagai
tempat untuk menimba ilmu? Bagiku Jordan mempunyai keunikan sendiri. Selepas
setahun aku berada disini baru ku dapat mengenali dan memberi jawapan apa yang
ditanya.
Jika dahulu orang tanya begitu, pasti aku
memberi jawapan bahawa ingin belajar bahasa arab, ingin menimba ilmu agama.
Tetapi jawapan itu bagiku mudah dipatahkan kerana mengapa tidak ke
negara-negara timur tengah yang lain? Disana juga boleh belajar ilmu agama dan
juga bahasa arab. Oleh sebab itu selepas
setahun berlalu baru kutemui jawapan yang sebenarnya.
Iaitu Jordan merupakan sebuah negara yang rakyatnya
hidup dalam kapasiti yang sedikit berbanding mesir, kemudiannya pula kedudukan
ibu negara Jordan iaitu Amman, tidak strategik malah kedudukan jauh dari
persisiran pantai. Menyebabkan ketandusan sumber air selalunya terjadi.
Dua masalah yang dinyatakan, menyebabkan
aku terfikir bahawa. Kehidupan rakyatnya yang susah, menyebabkan tekanan yang
berat kepada rakyat, tetapi sampai sekarang mengapa masih belum berlaku muzaharat
dengan tujuan untuk menjatuhkan kerajaan. Seperti negara timur
tengah yang lain. Kerana bagiku, masalah sedemikian sebenarnya melatih rakyat
dan pelajar ajnabi hidup dengan penuh berdikari.
Bayangkan kita terpaksa berjimat cermat,
menyebabkan setimba air jika dicurahkan terasa sangat kerugian. Disamping itu
juga matawang dinar yang mahal daripada ringgit menyebabkan bertambah perit
lagi. Tetapi itu kita jadikan cabaran untuk kita hidup dengan penuh berdikari,
dan juga kita hidup bertoleransi antara satu sama lain.
Selain itu, Jordan mengamalkan sifat
keterbukaan, bagaimana kita diajar menerima pelbagai pandangan, sehinggakan
pandangan syiah sekalipun diguna pakai di Universiti Al Al-Bayt ini, ternyata
lagi terbukti apabila kitab mereka (syiah) masih tersedia di perpustakaan
universiti ini. Dan jika pelajar master, tidak dapat tidak mesti juga
ambil satu pendapat dari syiah bagi tugasan tesis mereka. Jelas menunjukkan
terbukanya Jordan menyebabkan pelajarnya lebih bersifat matang dan progresif.
Itulah antaranya yang menjadi sebab bagiku
mengapa memilih Jordan. Kehidupan rakyat disini walaupun susah, dan payah
tetapi mereka mempunya nilai dan prinsip sendiri. Bagaimana ku lihat mereka
muliakan pelajar melayu seperti kita, menyebabkan jalinan erat antara
masyarakat dengan pelajar luar semakin kuat.
Pengalaman setahun disini melatihku hidup
sentiasa berdikari, tetapi sebenarnya kesukaan dan minatnya kita itu adalah
subjektif. Sesetengah orang menyangka Jordan ini biasa, tetapi bagi aku
ianya unik. Yang kadang-kadang kira rasa
teruk dan sukar, rupanya ada disebalik itu, satu pengajaran dan iktibar yang
besar.
Harapan dan Impian,
Mudah dan senang, impian ku ingin menjadi
orang yang berjaya di dunia dan akhirat, bukan menjadi binatang yang tiada akal
untuk memikir. Jordan sebagai wasilah untuk ku menuntut ilmu dan menimba
pengalaman, tetapi untuk melatih diri ini, semuanya atas diri sendiri.
Bukan perkara yang boleh kita tetapkan,
seperti meletakkan sesuatu benda ditempatnya, ianya semua bergantung kepada
diri sendiri. Sejauh mana tekad untuk menjadi orang, dan sejauh mana usaha yang
dilakukan, itu perlu dipersoalkan. Jangan mudah mengatakan kita sudah menjadi
manusia jika usaha dan keyakinan kita tiada.
Jadi perkara ini tidak sama dan serupa.
Menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat bukanlah satu benda yang mudah.
Ianya perlu dengan pengorbanan dan istiqamah yang berpanjangan. Keazaman yang
tinggi demi mencapai cita-cita yang kita hajati. Cumanya satu, setinggi mana
kita pergi jangan sesekali kita lupa pada ilahi.
“Dari kedah kita
datang kemari,
Dengan membawa harapan misi dan visi,
Negara Jordan menjadi pilihan dihati,
Semoga kehidupan disini sentiasa diberkati.”
No comments:
Post a Comment