Thursday 7 February 2013

Laporan Program Bersama Ustaz Zainul Asri


PROGRAM INTROSPEKSI MEMBURU REDHA ILAHI SEMPENA KEDATANGAN
AL-FADHIL USTAZ MUHD ZAINUL ASRI BIN HJ. ROMLI


Telah bersabda Nabi Muhammad SAW: Ulama’ itu adalah pewaris para nabi,mereka tidak mewariskan (meninggalkan) dinar mahupun dirham,tetapi mereka hanya meninggalkan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut,maka dia adalah orang yang paling beruntung. (riwayat Tirmizi)

                Tanggal 30 Disember 2012 merupakan suatu tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh para mahasiswa Malaysia di bumi Jordan. Sungguh,kedatangan ulama’ ataupun insan yang dekat dirinya dengan Allah membawa rahmat dan berkat buat semua pihak. Tidak kira tua atau muda mahupun miskin atau kaya,semua pihak pasti mendapat manfaat daripadanya.

                Seperti mana yang sedia maklum,pihak Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ) telah menganjurkan suatu program yang diberi nama “Introspeksi Memburu Redha Ilahi” sempena kedatangan al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri bin Hj Ramli ke bumi Jordan. Kedatangan al-Fadhil ustaz selama 2 hari itu dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak MPKJ agar semua pihak mendapat manfaat sebaiknya. Program ini dilaksanakan sebanyak 2 peringkat iaitu di mantiqah Irbid dan peringkat seterusnya di mantiqah Mu’tah.
               
                Peringkat pertama telah dilaksanakan di Irbid bermula pada pukul 9.00 pagi bertempat di Dewan Abu Ain telah mendapat sambutan yang hangat daripada mahasiswa mantiqah tersebut. Program ini berlangsung selama hampir 3 jam dan membincangkan sebuah kitab yang dikarang sendiri oleh al-Fadhil ustaz yang berjudul “50 Akhlak Solafus Soleh” dan taujihad menjelang peperiksaan akhir semester.

                Pada sebelah malamnya,program untuk peringkat kedua pula dilaksanakan di mantiqah Mu’tah dengan anjuran bersama MPKJ dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah (PERMATA). Program yang bertempat di PusKMa juga telah berjaya mengumpulkan sebahagian besar mahasiswa Malaysia di mantiqah tersebut. Antara pengisian yang telah disampaikan oleh al-Fadhil ustaz ialah bertajuk: “Aku,Ilmu dan Muaddal dalam Perjuangan”. Perkongsian yang disampaikan oleh al-Fadhil ustaz berlangsung hampir 3 jam dan berakhir dengan sesi soal jawab oleh beberapa orang hadirin.

                Pada keesokan harinya,al-Fadhil ustaz dibawa ziarah ke beberapa buah makam sahabat di Mazar,Mu’tah sebelum bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia pada sebelah petangnya. Pihak MPKJ mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudian al-Fadhil Ustaz Muhd Zainul Asri bin Hj Ramli memenuhi program yang telah dianjurkan dan berharap agar al-Fadhil ustaz berkunjung lagi ke bumi Jordan pada masa akan datang dalam misi menghidupkan hati-hati manusia untuk mendekati-Nya. Alhamdulillah,program yang dianjurkan berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamat yang telah disasarkan. Wallahua’alam.

No comments:

Post a Comment