Thursday 7 February 2013

Laporan Majlis Ramah Mesra Yayasan Islam Negeri Kedah bersama Ahli MPKJ 2012/13

   
            Bak kata pepatah melayu, “tak kenal maka tak cinta, dan cinta tidak mengenal rupa dan usia”. Tanggal 24 November 2012, suatu sejarah telah tercipta, suatu pertemuan yang tinggi maknanya. Pihak Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ) telah menganjurkan suatu program iaitu Majlis Ramah Mesra Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) bersama ahli MPKJ bagi sesi 2012/2013 bertempat di Dewan Kuliah Perniagaan, Universiti Jordan, Amman.
Majlis ini dihadiri oleh sebilangan pegawai atasan daripada agensi masing-masing iaitu Yang Berbahagia Tuan Hj Abdul Rahman bin Ismail (Pengurus Besar YINK), Yang Berhormat Dato’ Hj Taulan bin Mat Rasol (Timb Pengurus Besar YINK merangkap AMM Kerajaan Negeri Kedah), Yang Berusaha Prof Madya Dr Mohd Azidan bin Abdul Jabbar (Pengarah EMJ), Yang Berbahagia Tuan Hj Mohd Fuzi bin Mohaidin (Pengarah Urusan Kumpulan YIKED Holdings Sdn Bhd), Yang Berbahagia Tuan Syeikh Zainul Jamal bin Abdul Ghani (Pegawai HEP Kedah Timur Tengah) dan beberapa orang pengiring. Seramai 180 orang ahli MPKJ dari 4 buah mantiqah turut hadir sekaligus menambah seri dan keceriaan dalam majlis tersebut.

          Majlis ini dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran oleh saudara Mohd Fida’iy bin Zainal, pelajar Fiqh Wa Usuluhu, tahun  dua Universiti Mu’tah. Kemudiannya, majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Yang Di Pertua, saudara Ahmad Idzuddin bin Zubit bagi mewakili pihak MPKJ. Majlis semakin bertambah seri dengan ucapan oleh Yang Berusaha Pengarah EMJ. Selesai ucapan Pengarah EMJ, majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Pengurus Besar YINK. Slot ucapan diakhiri dengan ucapan oleh YB Dato’ Hj Taulan Mat Rasol selaku Timb. Pengurus Besar YINK merangkap AMM Kerajaan Negeri Kedah.

Majlis  Ramah Mesra diteruskan dengan  sesi dialog antara anak-anak Kedah di Jordan bersama wakil delegasi. Wakil delegasi tersebut ialah YB Dato’ Taulan Hj Mat Rasul, Yg. Berbahagia Tn Hj Abdul Rahman Ismail dan Yg. Berbahagia Tuan Syeikh Zainul Jamal Abdul Ghani selaku Pegawai HEP Kedah Timur Tengah. Sesi dialog ini  mendapat partisipasi yang mantap daripada hadirin yang mana lebih membincangkan perkara-perkara yang menjurus kepada pembangunan akademik dan kebajikan mahasiswa Kedah di Jordan. Sesi dialog ini berlangsung hampir 2 jam dan mendapat sambutan yang baik daripada semua pihak.

Sesi dialog ditamatkan sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang. Para hadirin yang turut serta disajikan dengan juadah yang disediakan oleh pihak penganjur dan kemudiannya menunaikan solat Maghrib bersama-sama sebelum berangkat pulang ke mantiqah masing-masing. Majlis bersurai pada pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment